Oleh DATUK ZAID IBRAHIM
Regim Mahathir bersekongkol dengan politik wang dan meletakkan politik di atas kedaulatan undang – undang. Persekongkolan sebegini tidak pernah wujud dalam imaginasi orang ramai semasa pentadbiran terdahulunya, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein. Hanya di era Mahathir, kuasa mahkamah untuk membuat timbangtara kehakiman digugurkan dan kemerdekaan badan kehakiman dirobek.
Keahlian Majlis Peguam selama beberapa tahun terus dikuasai oleh orang-orang yang berada dalam perkhidmatan guaman kerajaan. Prinsip Machiavellian ini juga menuntut agar penjawat awan tertinggi; polis, kehakiman dan Suruhajaya Piliharaya (SPR) untuk tunduk kepada kuasa eksekutif.
Semua ini membawa implikasi kepada mahkamah yang tidak lagi boleh menyoal titah menteri, Peguam Negara dan agensi kerajaan, sekalipun tindakan mereka tadi melanggat undang-undang.
Materialisme bercambah, dan gaya materialis yang dibawa oleh Mahathir meninggalkan kesan negative ke atas kita. Legasi budaya politik Penswastaan Malaysia daripadanya, membuat kita kini tergelincir menjadi masyarakat yang meletakkan harta benda di atas kehidupan, permusuhan dan keangkuhan di atas adab.
Malang buat kita, budaya politik ini sekarang diserap dan didukung oleh Najib. Anda boleh bertanya, jika semua fakta tentang budaya yang saya nyatakan dari hal idea Melayu tentang adab ini benar, kenapa keputusan dua Pilihanraya Kecil (PRK) yang lalu,menunjukkan masyarakat Melayu masih berdegil dan terus berpaut dengan budaya politik UMNO Baru?
Ada beberapa jawapan yang amat kompleks, termasuk pilihanraya beli. Biar saya jelaskan secara mudah, masyarakat Melayu, khususnya mereka yang tidak memiliki capaian maklumat – ini juga satu legasi agung Mahathir – telah menerima kesan buruk budaya politik takut UMNO Baru, bukan kebebasan, sebagai asas kesetiaan politik.
Jadi, jangan anggap UMNO Baru hanya menyusahkan bukan Melayu. Budaya politik ini telah membiakkan nilai-nilai buruk ke dalam perkhidmatan awam sehingga menyingkir orang Melayu yang berkelayakan dan cekap tetapi tidak ada “Kabel yang betul.”
Jika ada kakitangan awam Melayu yang berani mengambil pendirian berkecuali dan menghalang ketua-ketua jabatan daripada “menurut perintah” tanpa soal – yakni mematuhi perintah UMNO, orang tadi juga akan sengsara, sama seperti sebahagian daripada kita di sini
Walau bagaimanapun, kita semua mesti berusaha untuk “Cara Baru”. Orang Melayu bukannya tidak bertoleransi atau tidak boleh berdialog. Mereka bukannya tidak mempunyai akal atau apa-apa. Sebagai fakta, orang Melayu sudah sekian lama menolak UMNO, jauh sebelum laungan reformasi bermula.
Saya pasti ramai orang Melayu, walaupun selepas 22 tahun tunduk di bawah pentadbiran Mahathir, amat memahami dengan nilai “zuhud”, satu konsep yang saya belajar daripada Tuan Guru Nik Aziz, yang menggambarkan adab. Meskipun seseorang memiliki banyak harta, dia boleh terus mengekalkan sifat rendah hati dan tidak tamak.
Iman yang ikhlas, menolak sifat menunjuk-nunjuk, apa lagi penyelewengan kuasa dan rasuah, bukan seperti tokoh-tokoh tertentu yang rela mempamerkan hasil tidak halal mereka. Golongan majoriti senyap, mungkin belum menyatakan fikiran mereka secara lantang dan menukar undi mereka, tetapi percayalah…kebanyakan mereka juga turut mendahagakan kepimpinan yang jujur dan amanah.
Anda yang berada dalam bilik ini mempunyai IQ yang tinggi. Maka sebagai manusia yang teruji pintar, saya percaya anda mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan undang-undang kita tidak bertukar menjadi komedi.
Amat menjengkelkan saya apabila rakyat Malaysia yang pintar dan istimewa pada hari ini menjustifikasikan ketundukan terhadap setiap peraturan atau proses sebagai ‘pecahan dan juzuk dari politik’. Peningkatan dalam salah guna kuasa tidak diragukan oleh sikap tidak ambil peduli ini.
UMNO secara berterusan berkali-kali memandang rendah kepintaran kita. Kenapa kita mesti terus hidup bertoleransi dalam Negara di mana rakyat diminta, di bawah Akta Polis, untuk mendapatkan permit bagi berkumpul lebih daripada empat orang melainkan tentunya, perkumpulan yang terdiri daripada Pemuda UMNO? Kenapa kita menerima satu undang-undang untuk UMNO, satu lagi untuk kita?
Orang yang bijak tidak akan bertoleransi dengan undang-undang dungu. Sudah tiba masanya kita sebagai masyarakat yang prihatin dan berfikir, menggugah sikap tidak ambil peduli yang sudah begitu lama ini. Kita masyarakat yang peduli, sudah begitu lama membiarkan sahaja beberapa undang-undang kejam yang membuat kita semua kecut. Pentadbiran politik hanya menjadi bertambah baik apabila tradisi demokrasi, permuafakatan dan prinsip-prinsip yang sah diamalkan dan dihormati.
Walau bagaimanapun untuk hasrat murni membuahkan hasil, pengorbanan diperlukan. Martin Luther King Jr. mengingatkan kita “Kebebasan tidak pernah diberikan secara sukarela oleh penindas, tetapi ia harus dituntut oleh yang tertindas”. Rakyat dengan itu mesti terus berada di tengah-tengah untuk menghalang Negara ini daripada runtuh berkecai.
Bagi saya, adab sentiasa menjadi milik kita dan ia memberi saya harapan. Kita boleh mempengaruhi bentuk undang-undang yang akan mewarnai ruang kehidupan kita. Mari kita amalkan pilihan bebas yang kita miliki, suara nurani dan kejujuran yang menyinar dalam adab yang menjadikan adat kita.
Demi anak cucu kita, kita mesti. Inilah satu-satunya pilihan yang kita ada, satu persoalan moral untuk ditangani. Pilihan ini adalah kebebasan terbesar bagi kita yang wujud kini dan ia tentunya berada dalam fitrah kita.
No comments:
Post a Comment