Friday, July 2, 2010
Apabila Yang Haram DIHALALKAN, apakah yang menanti Malaysia?
Oleh Uncle Ash, www.thecovenantadvisor.wordpress.com
Judi membawa maksud permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan. mengikut tafsiran Kamus Dewan Edisi Ketiga. Beberapa minggu ini Negara diributkan dengan perkataan judi apabila Kerajaan Pemerintah meluluskan permohonan Syarikat Konglomerat, Kumpulan BERJAYA Berhad untuk menjalankan aktiviti perjudian sukan.
BERJAYA adalah merupakan sebuah syarikat milik tokoh korporat Negara iaitu, Tan Sri Vincent Tan. BERJAYA juga merupakan syarikat induk bagi kegiatan pertaruhan nombor ekor iaitu menerusi syarikat SPORTS TOTO. Hartawan Judi ini telah dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengan ramai Pemimpin – pemimpin utama Negara termasuklah satu dakwaan baru-baru ini beliau mempunyai hubungan rapat dengan YB Dato’ Ibrahim Ali, Presiden PERKASA. BERJAYA juga merupakan syarikat induk Kedai Serbaneka 7-Eleven.
Kegiatan perjudian ini telah lama bertapak di bumi bertuah ini walaupun agama rasmi Persekutuan adalah Islam dan majoriti penduduk adalah beragama Islam. Sejarah telah mencatatkan bahawa tabiat berjudi ini sukar dibanteras kerana ia berkait-rapat dengan tabiat pemimpin Melayu yang 'mewakafkan' tanah untuk membina pusat judi terulung di rantau ini. Sebenarnya, kegilaan berjudi wujud lebih lama sebelum wujud Genting. Raja, bangsawan dan rakyat bersabung ayam dan berlaga lembu dan ketagihan ini wujud di ambang kemerdekaan.
Keratan akhbar dibawah menjadi bukti betapa judi memang sebati dengan masyarakat Melayu.
16 ekor lembu yang handal akan dibawa dari Kelantan ke Kuala Lumpur sedikit hari lagi untuk mengambil bahagian dalam temasya 'Perlagaan Lembu' sebagai satu rancangan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. "Temasya 'Perlagaan Lembu' sangat digemari di negeri ini tetapi kerajaan telah melarang permainan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu".
- (Berita Harian, 27 Julai 1957).
Apatah lagi dengan kenyataan Taikun Judi No.1 Negara, Lim Goh Tong – pemilik Pusat Peranginan dan Kasino Genting Highlands di dalam buku beliau My Memoir
"Dalam ucapannya, Tunku berbangga kerana saya membina pusat peranginan tanpa bantuan kerajaan dan pada masa yang sama memberi jasa besar kepada industri pelancongan. Untuk mempercepatkan pembangunan pelancongan di kawasan ini, Tunku berkata kerajaan akan menimbangkan untuk membenarkan aktiviti kasino."
Tambah beliau lagi,
"Pada April 28, 1969, di hari saya kembali ke Kuala Lumpur, saya menyerahkan permohonan untuk mendapat lesen kasino dari kerajaan melalui seorang pembantu peribadi Tunku. Nasib saya amat baik, mesyuarat kabinet berlangsung pada sebelah petang dan permohonan saya dibawa ke perbincangan. Dalam mesyuarat berkenaan kabinet telah meluluskan permohonan saya, hanya enam jam selepas permohonan itu diserahkan.”
Sebarang usaha untuk menghalalkan judi di Negara ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ini juga menjadi bukti betapa Pemerintah tidak mampu menjaga kemaslahatan masyarakat dan juga kemuliaan agama Islam. Ini juga menjadi bukti betapa Pemerintah lebih mengutamakan golongan-golongan korporat yang hanya mementingkan keuntungan berlipat ganda semata-mata.
Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, mengenai kewajaran untuk menghalalkan judi tersebut supaya memudahkan pemantauan dan keuntungan dapat digunakan untuk pembangunan sukan dan sosial sesungguhnya sesuatu yang amat memalukan.
Allah secara jelas mengharamkan dan melarang umat Islam dari hidup bergelumang dengan perjudian. Firman Allah,
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
maksudnya;
"mereka bertanya kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah, pada kedua-duanya adalah dosa besar dan memberi manfaat kepada manusia. dosanya lebih besar berbanding manfaatnya"
(Surah Al-Baqarah : 219)
Jadi, perbuatan menghalalkan perjudian ini adalah perbuatan yang mencabar larangan Allah dan tuntutan Islam. Bahkan, tiada mana – mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya hidup bergelumang dengan judi. Ini telah disahkan oleh Ketua – Ketua Agama sewaktu pertemuan mereka dengan YAB Nik Aziz Nik Mat, Mentri Besar Kelantan sewaktu YAB Nik Aziz mula-mula menjadi Mentri Besar bahawa agama dan budaya masyarakat mereka juga tidak pernah sesekali menggalakkan penganut mereka berjudi.
Juga, sikap yang ditunjukkan oleh YB Loke Siew Fook yang mula-mula membawa isu ini ke Parlimen. Beliau dilihat lebih lantang daripada Ahli-ahli Parlimen Muslim dalam mendesak Pemerintah tidak meluluskan judi sukan ini. NGO-NGO dan pemimpin-pemimpin kononnya mempertahankan Melayu dan Islam ketika isu Kalimah ALLAH dahulu dengan begitu lantang tiba-tiba menjadi bisu. Tidak langsung mengambil apa-apa tindakan terhadap isu judi ini. Bahkan ada pula antara mereka dilihat cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menimbulkan cubaan mengadakan Perhimpunan Memperingati 13 Mei.
Sikap bermuka-muka pemimpin-pemimpin Melayu Islam ini boleh mendatangkan bahaya kepada kemaslahatan ummah di Malaysia. Sikap mereka yang lantang umpama Jaguh mempertahankan Islam dan kemudiannya menikus dalam isu judi boleh mengelirukan ummah. Begitu juga, sikap JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Mufti-mufti yang langsung tidak menyuarakan pandangan adalah amat dikesali. Apakah apabila perbuatan-perbuatan yang diharamkan Islam boleh menjadi halal apabila memberikan keuntungan berlipat ganda kepada percukaian Negara? Dimanakah ketegasan mereka dalam mempertahankan hukum hakam Islam?
Judi merupakan antara penyumbang utama kepada cukai Negara. Menurut laporan Mayban Securities bertarikh 26 May 2006, nilai judi sah di Malaysia adalah RM 850 juta sehari. Perjudian haram pula dianggarkan dengan jumlah yang sama. Ini menjadikan jumlah nilai aktiviti judi di Malaysia kepada RM 1.7 billion sehari. Dengan ramalan jumlah ini akan naik dua kali ganda di dalam bulan Piala Dunia, ia bererti kegiatan Judi ini akan meraih keuntungan RM 3.4 billion sehari menjelang Piala Dunia nanti.
Keuntungan luar biasa inilah yang menjadi punca mengapa Pemerintah begitu teruja untuk meluluskan perjudian sukan ini. Maka, Malaysia sekarang ini sedang menuju kearah Negara Judi. Apakah ini nilai-nilai Islam yang ingin ditonjolkan kepimpinan Negara masa kini? Islam yang “menghalalkan” judi? Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi menolak ajaran dan amalan Islam?
Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.
Dalam keadaan indeks Jenayah di Malaysia yang semakin meningkat, kegiatan perjudian sebegini pasti akan terus menyumbang kepada peningkatan jenayah. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor tahun 2007, seramai 42 orang Islam telah ditahan kerana berjudi di dalam daerah Muar. Ini termasuklah perjudian nombor ekor. Walaupun diharamkan agama, tetapi tindakan pemerintah yang terus membenarkan pusat-pusat nombor ekor tumbuh umpama “cendawan selepas hujan” serta lesen Special Draw yang terlalu kerap menjadikan masyarakat termasuk orang Islam turut sama bergelumang dengan perjudian seperti ini.
Perangkaan ini menjadi bukti jelas walaupun pelbagai amaran atau denda dikenakan bagi orang – orang Islam yang berjudi, namun ini tidak akan sedikitpun menakutkan mereka – mereka ini. Kita boleh lihat papan iklan yang jelas menulis “Judi adalah haram di sisi Islam” digantung di kedai – kedai pertaruhan nombor namun apakah papan iklan,amaran dan denda ini bisa menghalang orang Islam dari berjudi? Semua ini terjadi kerana Pemerintah telah memberikan lesen untuk aktiviti perjudian sebegini. Alangkah sedihnya melihat komuniti Muslim Malaysia hanya mendiamkan diri melihat Islam dipijak oleh Pemerintah. Kita terus melihat mereka – mereka ini terjebak dalam dosa besar sambil memikirkan itu hanyalah tanggungjawab Penguatkuasa Jabatan Agama untuk mengambil tindakan. Tetapi sedarkah kita bahawa kita turut sama bersalah kerana telah memilih Pemerintah yang tidak langsung peka dan peduli dengan segala hukum hakam Allah.
Petikan Utusan Malaysia bertarikh 8 April 2007 yang menunjukkan 16 peratus remaja Malaysia terbabit dalam kancah perjudian. Ini amat membimbangkan kerana remaja adalah merupakan golongan pewaris Negara. Amat menyedihkan seawal umur begini mereka telah terbabit dalam kebejatan akhlak dan mungkin ada yang telah menjadi penjudi kronik atau “tahi judi”. Apa yang boleh kita harapkan untuk generasi akan datang kalau sekiranya pelapis yang ada hari ini lebih gemar berjudi, hiburan yang keterlaluan dan minuman keras serta dadah. Remaja Malaysia hari ini telah jauh tersasar kehidupan sosial mereka dan kehilangan jatidiri. Dan kita semua turut bertanggungjawab apabila tanpa sedar kita merelakan tindakan Pemerintah meluluskan lesen judi dan pusat – pusat hiburan. Satu undi dalam pilihanraya telah menyebabkan berlakunya perkara ini.
Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, penulis tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.
Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah. Bahkan, pada tahap kronik akibat bebanan hutang judi, kemungkinan untuk berlakunya perlakuan yang melangkaui kewarasan fikiran seperti menjual anak perempuan dan sebagainya. Ini adalah kesan yang amat penulis takuti.
Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap dadah berlesen' untuk memudahkan pemantauan gejala dadah? Atau mungkin menghalalkan pula kegiatan pelacuran dan zina demi untuk memantau kegiatan pembuangan bayi? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan pemerintah hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!
Pendedahan mengenai syarikat – syarikat kepentingan awam seperti AMANAHRAYA dan PERKESO yang mempunyai pegangan saham dalam syarikat perjudian Magnum Corporation dan juga syarikat arak Carlsberg Brewery juga tersangatlah mengejutkan. AMANAHRAYA didakwa memiliki lebih 11 juta unit saham dalam Magnum Corporation dan 585,300 unit dalam Carlsberg Brewery manakala PERKESO pula mempunyai saham sebanyak 2,155,700 unit saham dalam Carlsberg Brewery.
Akhir kata, hayatilah kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Tamadun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat." Dan juga Firman Allah S.W.T
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
maksudnya;
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, tenung nasib dan berhala merupakan najis, daripada amalan-amalan syaitan. maka hendaklah kamu jauhkan diri. mudah-mudahan kamu berjaya"
(Surah Al-Maidah : 90)
Semoga Negara Malaysia akan sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah dari segala kebejatan akhlak yang boleh menghancurkan teras masyarakat Malaysia. Insya Allah
***(Perjudian Bola : Rakyat 1, UMNO 0. Kerajaan BN mengumumkan pada 25hb. Jun, bahawa lesen judi bola Ascot Sports ditarik balik. Tahniah dan Syabas ! Satu kemenangan untuk Rakyat)
Labels:
news
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment