Saturday, July 3, 2010

1Israel > 1 Malaysia > 1 Amerika Yankee

Oleh Ikan Pari Muar.



Konsep 1 Israel diperkenalkan pada tahun 1999 oleh Ehud Barak yang menang pilihan raya umum pada tahun tersebut. Konsep ini bertujuan untuk menyatukan bangsa Yahudi dan Arab Islam. Hasil daripada konsep 1 Israel ini maka satu perjanjian persefaman terhasil antara Barak dan Yasser Arafat pada tahun 2000.

APCO adalah antara syarikat penasihat yang mempunyai hubungan rapat dengan parti-parti politik di Israel yang mana antaranya sebagai agen perisik kerajaan Israel. Di samping bidang penasihat multi media sebagai sumber perniagaan mereka, bidang perisikan sebagai muslihat dan punca kewangan utama.

Adalah munafik ataupun hipokrit kerana mengutuk orang lain sebagai agen Yahudi tapi dia sendiri mengupah APCO sebagai penasihat dengan perbelanjaan lebih RM 70 juta. Sikap hipokrit ini didahului oleh Dr Mahathir bin Muhammad Iskandar Kutty kerana beliau sebagai pelopor mengambil syarikat Yahudi, “Saatchi and Saatchi” sebagai penasihat ketika dulu.

Setelah tamatnya Perang Dunia Ke-2, orang Yahudi telah ditempatkan semula di Gaza yang dakwaannya sebagai tempat asal zuriat mereka oleh pihak Amerika. Atas bantuan Amerika, negara Israel telah ditubuhkan pada 14hb., Mei, 1948 sebagai satu kuasa baru yang didalangi oleh Amerika untuk mengimbangi kuasa negara Arab Islam. Muslihat utama Amerika menyokong penuhuhan negara Israel adalah untuk menguasai Terusan Suez yang merupakan laluan srategik ekonomi dan ketenteraan yang menyambungkan benua barat dan timur. Di samping itu, timur tengah yang kaya dengan “emas hitam”, petrolem telah menjadi tarikan utama Amerika untuk mengeksploitasikannya demi memperkukuhkannya sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan dunia yang unggul.


Negara-negara Arab Islam memang tidak senang hati atas penempatan semula negara Yahudi ini. Berbagai-bagai perang bersiri telah tercetus di kawasan tersebut. Setelah tamatnya Perang Enam Hari pada 10/06/1967, Israel sebagai pemenang telah menguasai wilayah yang luasnya empat kali ganda dari asalnya. Negara-negara Arab telah menanggung malu atas kekalahan ini dan kesannya sempadan wilayah telah susut dan pencapaian ekonomi negara Arab telah terancam. Israel telah berjaya merebut Gurun Sinai dan Dataran Gaza dari Mesir, Tebing Barat dan Jurusalem dari Jordan serta Dataran Tinggi Golan dari Syria.

Perang Yom Kippur tahun 1973 adalah puncak dari rangkaian Perang Arab-Israel yang telah meletup sejak tahun 1940an. Bangsa-bangsa Arab yakin bahawa merekalah pemilik yang sah dari tanah yang kini diduduki oleh Israel. Sementara itu orang Yahudi juga yakin bahawa merekalah pewaris yang sebenarnya dari wilayah di sebelah barat Sungai Jordan itu. Dalam perang ini, Negara Bersekutu Arab-Islam, iaitu Mesir, Syria, Jordan, Iraq dan Lebanon telah menggempur Israel habis-habisan. Mesir berjaya menyeberangi Terusan suez dan menguasai tebing timur yang dikuasai Israel. Sementara itu, Syria telah berjaya menebusi garisan genjatan senjata di Dataran Tinggi Golan.

Kejayaan awal ini memberkati Negara Bersekutu Arab-Islam ini akan menang dalam perang Yom Kippur ini. Tetapi atas bantuan senjata canggih yang bernilai berbillion USD dan maklumat perisikan Amerika, Israel berjaya menepis serangan Bersekutu Arab-Islam ini dan berjaya memperkukuhkan kekuasaan wilayahnya sehingga hari ini.

Ini jelas menunjukkan bahawa Amerika memerlukan peranan Israel sebagai “anjing” untuk mengawasi dan menakluki kekayaan kawasan Arab-Islam secara beransur-ansur.
Atas naungan Amerika ini, Israel telah melakukan rangkaian jenayah pembunuhan ke atas penduduk Arab-Islam di Gaza. Contohnya dalam serangan ke atas kumpulan Hamas yang kononnya dikatakan telah mengancam keselamatan Israel. Berbagai-bagai jenis senjata berbahaya telah diuji di medan perang ini yang bukan hanya membunuh, tetapi juga melumpuhkan penduduk Gaza dengan penggunaan senjata kimia seperti White Phosphorus dan Dense Inert Metal Explosive (DIME) yang menyebabkan mangsa yang terdedah kepadanya menjadi cacat seumur hidup. Peristiwa jenayah perang yang dilakukan oleh Israel pada tahun 1982 semasa pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin di khemah pelarian Shabra dan Shatila masih belum dapat keadilan sepenuhnya oleh pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague, Belanda. Malah Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) tidak dapat melakukan sesuatu yang adil dan saksama kerana telah didalangi oleh kuasa veto negara barat yang dipelopori oleh Amerika.

Jelas sekali bahawa Najib sebagai seorang pemimpin negara Islam di rantau Asia Tenggara langsung tidak mengendah kezaliman yang dilakukan oleh Israel atas saudara-saudari Islam di Timur Tengah. Tidak pernah terlintas dalam fikiran beliau bahawa wang kontrak lebih RM 70 juta yang diberikan kepada APCO ini bukan akan digunakan sebagai dana perang untuk menindas dan menyeksa umat Islam di sana. Adakah Najib insaf bahawa kejahilan beliau secara tidak langsung telah berperanan sebagai pembunuh atas saudara-saudari Islam sendiri ? Adakah angenda memperkukuhkan kedudukan ataupun legenda politik sendiri lebih penting daripada memupuk semangat permuafakatan dunia Islam sejagat ? Bertaubatlah Najib, lakukan pahala yang direstui Tuhan demi hari akhirat!

Najib telah menyokong usul sekatan senjata neuklear ke atas Iran yang disyorkan oleh Amerika pada bulan April lepas. Adakah beliau faham tentang tujuan usul sekatan senjata nuklear ini ? Tujuan usul ini adalah untuk merobohkan benteng terakhir kuasa Arab-Islam yang dapat menandingi usaha penaklukan Amerika ke atas Asia Barat dan seterusnya ke Asia Timur. Lebih-lebih lagi, negara Asia lain yang berupaya menghasilkan senjata nuklear seperti India dan Pakistan telah berpihak kepada Amerika. Malahan Russia dan China telah mengambil sikap berkecuali dalam usul ini dan Korea Utara telah lama diisolasikan dari arena dunia. Sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan berjiwa Asia serta berdarah Islam, sepatutnya mengerti tentang muslihat siri penjajahan baru yang dirancangkan oleh Amerika ini. Kalau Iran dirobohkan oleh muslihat ini, adakah Najib terfikir untuk mempertahankan benteng Asia Timur ini daripada kuasa Amerika? Ataupun beliau akan membenarkan Amerika untuk mempergunakan Malaysia sebagai pintu masuk sepertimana dipraktikkan atas Israel untuk menjajah sepenuhnya atas benua Asia Timur ? Cuma beliau yang melaungkan konsep 1Malaysia yang meniru konsep 1Israel yang didalangi oleh Amerika Yankee akan menentukan nasib diri ke arah Tuhan.

Pertubuhan dan undang-undang antarabangsa yang diwujudkan kononnya untuk membawakan keadilan dan kesejahteraan dunia tidak dapat mendatangkan sebarang kesejahteraan, keadilan dan keamanan untuk umat Islam, tetapi sebaliknya melemahkan umat Islam keseluruhannya. Ini kerana pertubuhan seperti ini telah dimonopoli oleh kuasa veto Amerika untuk kepentingan diri dengan anjingnya , Israel yang menetap di Timur Tengah. Ini jelas memperlihatkan kenapa Israel masih belum dijatuhkan sebarang hukuman oleh PBB. Alangkah anehnya kita meniru konsep ini dan mengupah penasihat Israel yang akan menjahamkan kita sendiri nanti. Umat Islam mesti memecahkan belenggu sistem dan kehidupan sekular dan mendirikan Daulat Khalifah untuk menghukum perang Israel. Ayuh ! sebagai seorang manusia yang berpandukan kepada Tuhan, marilah istiharkan perang ke atas Israel.

Friday, July 2, 2010

Apabila Yang Haram DIHALALKAN, apakah yang menanti Malaysia?



Oleh Uncle Ash, www.thecovenantadvisor.wordpress.com

Judi membawa maksud permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan. mengikut tafsiran Kamus Dewan Edisi Ketiga. Beberapa minggu ini Negara diributkan dengan perkataan judi apabila Kerajaan Pemerintah meluluskan permohonan Syarikat Konglomerat, Kumpulan BERJAYA Berhad untuk menjalankan aktiviti perjudian sukan.

BERJAYA adalah merupakan sebuah syarikat milik tokoh korporat Negara iaitu, Tan Sri Vincent Tan. BERJAYA juga merupakan syarikat induk bagi kegiatan pertaruhan nombor ekor iaitu menerusi syarikat SPORTS TOTO. Hartawan Judi ini telah dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengan ramai Pemimpin – pemimpin utama Negara termasuklah satu dakwaan baru-baru ini beliau mempunyai hubungan rapat dengan YB Dato’ Ibrahim Ali, Presiden PERKASA. BERJAYA juga merupakan syarikat induk Kedai Serbaneka 7-Eleven.

Kegiatan perjudian ini telah lama bertapak di bumi bertuah ini walaupun agama rasmi Persekutuan adalah Islam dan majoriti penduduk adalah beragama Islam. Sejarah telah mencatatkan bahawa tabiat berjudi ini sukar dibanteras kerana ia berkait-rapat dengan tabiat pemimpin Melayu yang 'mewakafkan' tanah untuk membina pusat judi terulung di rantau ini. Sebenarnya, kegilaan berjudi wujud lebih lama sebelum wujud Genting. Raja, bangsawan dan rakyat bersabung ayam dan berlaga lembu dan ketagihan ini wujud di ambang kemerdekaan.

Keratan akhbar dibawah menjadi bukti betapa judi memang sebati dengan masyarakat Melayu.

16 ekor lembu yang handal akan dibawa dari Kelantan ke Kuala Lumpur sedikit hari lagi untuk mengambil bahagian dalam temasya 'Perlagaan Lembu' sebagai satu rancangan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. "Temasya 'Perlagaan Lembu' sangat digemari di negeri ini tetapi kerajaan telah melarang permainan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu".


- (Berita Harian, 27 Julai 1957).

Apatah lagi dengan kenyataan Taikun Judi No.1 Negara, Lim Goh Tong – pemilik Pusat Peranginan dan Kasino Genting Highlands di dalam buku beliau My Memoir
"Dalam ucapannya, Tunku berbangga kerana saya membina pusat peranginan tanpa bantuan kerajaan dan pada masa yang sama memberi jasa besar kepada industri pelancongan. Untuk mempercepatkan pembangunan pelancongan di kawasan ini, Tunku berkata kerajaan akan menimbangkan untuk membenarkan aktiviti kasino."

Tambah beliau lagi,
"Pada April 28, 1969, di hari saya kembali ke Kuala Lumpur, saya menyerahkan permohonan untuk mendapat lesen kasino dari kerajaan melalui seorang pembantu peribadi Tunku. Nasib saya amat baik, mesyuarat kabinet berlangsung pada sebelah petang dan permohonan saya dibawa ke perbincangan. Dalam mesyuarat berkenaan kabinet telah meluluskan permohonan saya, hanya enam jam selepas permohonan itu diserahkan.”

Sebarang usaha untuk menghalalkan judi di Negara ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ini juga menjadi bukti betapa Pemerintah tidak mampu menjaga kemaslahatan masyarakat dan juga kemuliaan agama Islam. Ini juga menjadi bukti betapa Pemerintah lebih mengutamakan golongan-golongan korporat yang hanya mementingkan keuntungan berlipat ganda semata-mata.

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, mengenai kewajaran untuk menghalalkan judi tersebut supaya memudahkan pemantauan dan keuntungan dapat digunakan untuk pembangunan sukan dan sosial sesungguhnya sesuatu yang amat memalukan.
Allah secara jelas mengharamkan dan melarang umat Islam dari hidup bergelumang dengan perjudian. Firman Allah,

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

maksudnya;
"mereka bertanya kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah, pada kedua-duanya adalah dosa besar dan memberi manfaat kepada manusia. dosanya lebih besar berbanding manfaatnya"

(Surah Al-Baqarah : 219)
Jadi, perbuatan menghalalkan perjudian ini adalah perbuatan yang mencabar larangan Allah dan tuntutan Islam. Bahkan, tiada mana – mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya hidup bergelumang dengan judi. Ini telah disahkan oleh Ketua – Ketua Agama sewaktu pertemuan mereka dengan YAB Nik Aziz Nik Mat, Mentri Besar Kelantan sewaktu YAB Nik Aziz mula-mula menjadi Mentri Besar bahawa agama dan budaya masyarakat mereka juga tidak pernah sesekali menggalakkan penganut mereka berjudi.
Juga, sikap yang ditunjukkan oleh YB Loke Siew Fook yang mula-mula membawa isu ini ke Parlimen. Beliau dilihat lebih lantang daripada Ahli-ahli Parlimen Muslim dalam mendesak Pemerintah tidak meluluskan judi sukan ini. NGO-NGO dan pemimpin-pemimpin kononnya mempertahankan Melayu dan Islam ketika isu Kalimah ALLAH dahulu dengan begitu lantang tiba-tiba menjadi bisu. Tidak langsung mengambil apa-apa tindakan terhadap isu judi ini. Bahkan ada pula antara mereka dilihat cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menimbulkan cubaan mengadakan Perhimpunan Memperingati 13 Mei.

Sikap bermuka-muka pemimpin-pemimpin Melayu Islam ini boleh mendatangkan bahaya kepada kemaslahatan ummah di Malaysia. Sikap mereka yang lantang umpama Jaguh mempertahankan Islam dan kemudiannya menikus dalam isu judi boleh mengelirukan ummah. Begitu juga, sikap JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Mufti-mufti yang langsung tidak menyuarakan pandangan adalah amat dikesali. Apakah apabila perbuatan-perbuatan yang diharamkan Islam boleh menjadi halal apabila memberikan keuntungan berlipat ganda kepada percukaian Negara? Dimanakah ketegasan mereka dalam mempertahankan hukum hakam Islam?

Judi merupakan antara penyumbang utama kepada cukai Negara. Menurut laporan Mayban Securities bertarikh 26 May 2006, nilai judi sah di Malaysia adalah RM 850 juta sehari. Perjudian haram pula dianggarkan dengan jumlah yang sama. Ini menjadikan jumlah nilai aktiviti judi di Malaysia kepada RM 1.7 billion sehari. Dengan ramalan jumlah ini akan naik dua kali ganda di dalam bulan Piala Dunia, ia bererti kegiatan Judi ini akan meraih keuntungan RM 3.4 billion sehari menjelang Piala Dunia nanti.

Keuntungan luar biasa inilah yang menjadi punca mengapa Pemerintah begitu teruja untuk meluluskan perjudian sukan ini. Maka, Malaysia sekarang ini sedang menuju kearah Negara Judi. Apakah ini nilai-nilai Islam yang ingin ditonjolkan kepimpinan Negara masa kini? Islam yang “menghalalkan” judi? Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi menolak ajaran dan amalan Islam?

Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

Dalam keadaan indeks Jenayah di Malaysia yang semakin meningkat, kegiatan perjudian sebegini pasti akan terus menyumbang kepada peningkatan jenayah. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor tahun 2007, seramai 42 orang Islam telah ditahan kerana berjudi di dalam daerah Muar. Ini termasuklah perjudian nombor ekor. Walaupun diharamkan agama, tetapi tindakan pemerintah yang terus membenarkan pusat-pusat nombor ekor tumbuh umpama “cendawan selepas hujan” serta lesen Special Draw yang terlalu kerap menjadikan masyarakat termasuk orang Islam turut sama bergelumang dengan perjudian seperti ini.

Perangkaan ini menjadi bukti jelas walaupun pelbagai amaran atau denda dikenakan bagi orang – orang Islam yang berjudi, namun ini tidak akan sedikitpun menakutkan mereka – mereka ini. Kita boleh lihat papan iklan yang jelas menulis “Judi adalah haram di sisi Islam” digantung di kedai – kedai pertaruhan nombor namun apakah papan iklan,amaran dan denda ini bisa menghalang orang Islam dari berjudi? Semua ini terjadi kerana Pemerintah telah memberikan lesen untuk aktiviti perjudian sebegini. Alangkah sedihnya melihat komuniti Muslim Malaysia hanya mendiamkan diri melihat Islam dipijak oleh Pemerintah. Kita terus melihat mereka – mereka ini terjebak dalam dosa besar sambil memikirkan itu hanyalah tanggungjawab Penguatkuasa Jabatan Agama untuk mengambil tindakan. Tetapi sedarkah kita bahawa kita turut sama bersalah kerana telah memilih Pemerintah yang tidak langsung peka dan peduli dengan segala hukum hakam Allah.

Petikan Utusan Malaysia bertarikh 8 April 2007 yang menunjukkan 16 peratus remaja Malaysia terbabit dalam kancah perjudian. Ini amat membimbangkan kerana remaja adalah merupakan golongan pewaris Negara. Amat menyedihkan seawal umur begini mereka telah terbabit dalam kebejatan akhlak dan mungkin ada yang telah menjadi penjudi kronik atau “tahi judi”. Apa yang boleh kita harapkan untuk generasi akan datang kalau sekiranya pelapis yang ada hari ini lebih gemar berjudi, hiburan yang keterlaluan dan minuman keras serta dadah. Remaja Malaysia hari ini telah jauh tersasar kehidupan sosial mereka dan kehilangan jatidiri. Dan kita semua turut bertanggungjawab apabila tanpa sedar kita merelakan tindakan Pemerintah meluluskan lesen judi dan pusat – pusat hiburan. Satu undi dalam pilihanraya telah menyebabkan berlakunya perkara ini.

Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, penulis tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.
Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah. Bahkan, pada tahap kronik akibat bebanan hutang judi, kemungkinan untuk berlakunya perlakuan yang melangkaui kewarasan fikiran seperti menjual anak perempuan dan sebagainya. Ini adalah kesan yang amat penulis takuti.

Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap dadah berlesen' untuk memudahkan pemantauan gejala dadah? Atau mungkin menghalalkan pula kegiatan pelacuran dan zina demi untuk memantau kegiatan pembuangan bayi? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan pemerintah hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

Pendedahan mengenai syarikat – syarikat kepentingan awam seperti AMANAHRAYA dan PERKESO yang mempunyai pegangan saham dalam syarikat perjudian Magnum Corporation dan juga syarikat arak Carlsberg Brewery juga tersangatlah mengejutkan. AMANAHRAYA didakwa memiliki lebih 11 juta unit saham dalam Magnum Corporation dan 585,300 unit dalam Carlsberg Brewery manakala PERKESO pula mempunyai saham sebanyak 2,155,700 unit saham dalam Carlsberg Brewery.

Akhir kata, hayatilah kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Tamadun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat." Dan juga Firman Allah S.W.T
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

maksudnya;
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, tenung nasib dan berhala merupakan najis, daripada amalan-amalan syaitan. maka hendaklah kamu jauhkan diri. mudah-mudahan kamu berjaya"

(Surah Al-Maidah : 90)
Semoga Negara Malaysia akan sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah dari segala kebejatan akhlak yang boleh menghancurkan teras masyarakat Malaysia. Insya Allah
***(Perjudian Bola : Rakyat 1, UMNO 0. Kerajaan BN mengumumkan pada 25hb. Jun, bahawa lesen judi bola Ascot Sports ditarik balik. Tahniah dan Syabas ! Satu kemenangan untuk Rakyat)